Tuesday, 20 January 2015

Kelas Usrah #3

Author : SuriyaManis | Category :
[Tazkirah 29 Rabiul Awal 1436 @ 20 Januari 2015

Ciri-Ciri Suami Mithali
1) Seorang yang soleh
• Menunaikan tanggungjawab terhadap Allah, keluarga serta kepada semua orang yang menjadi tanggungjawabnya dengan penuh semangat, penuh perhatian, dan penuh kelapangan dada.
• Menjadikan Rasullah sebagai contoh tauladan dan ikutan yang terbaik.
• Kemulian akhlak seorang suami yang soleh di ambil kira dengan sikapnya terhadap isteri kerana salah satu cirri orang yang berakhlak mulia ialah orang yang memuliakan wanita dan tidak pernah menghina wanita kecuali orang yang keji perbuatannya.
• Hal ini juga merupakan kesaksian Rasullah terhadap suami soleh yang berhias diri dengan akhlak mulia, yang dalam langkah kehidupannya sentiasa dilandasi dengan kekuatan iman dan takwa. 

2) Berwajah manis
• Seorang suami yang soleh pasti akan menunjukkan sikap yang menyenangkan terhadap isteri. Hal ini kerana ianya dapat menanamkan kebahagian dan kesenangan dalam hati isteri.
• Rasullah telah memberikan petunjuk tentang beberapa perkara yang harus dilakukan oleh suami di hadapan isteri ketika kembali dari bermusafir :
i. Menyampaikan ucapan salam kerana ianya dapat menambahkan berkat dan mendapatkan hidayah, menabur kedamaian serta ketenteraman antara suami isteri.
ii. Sentiasa berwajah manis lagi berseri. Senyuman yang tulus dan raut muka yang jernih akan membuatkan senang hati orang yang bertemu.
iii. Berjabat tangan hendaklah ditumbuh kembangkan antara suami isteri dan seluruh anggota keluarga, baik ketika keluar mahupun masuk rumah. 

3) Panggilan mesra
• Untuk dapat menyeronokkan perbicaraan yang sedap lagi berkesan, Islam telah memberikan beberapa tuntutan kepada umatnya, lebih khusus lagi kepada suami, agar mereka dapat meraih kebahagian yang sempurna.
i. Suami soleh apabila berbicara dengan isteri pasti pandai memilih kata-kata yang indah lagi baik, serta diungkap dengan ungkapan yang menarik.
ii. Apabila orang yang berbicara menunjukkan penghargaan, penghormatan, raut muka berseri lagi gembira dan kelembutan serta perhatian penuh, tentu lawan bicaranya akan merasa senang dan reaksi perbicaraan tersebut.
iii. Apabila seorang suami berbicara dengan isterinya, hendaklah dengan ucapan yang jelas, perlahan, mudah diterima dan dengan suara yang lembut.
iv. Apabila seorang suami memanggil isterinya, hendaklah dengan menggunakan panggilan yang manis dan yang paling disukai.
v. Seorang suami hendaklah memanggil isterinya dengan panggilan yang manja kerana dapat menumbuhkan rasa cinta dan hormat, melukiskan rasa senang dan bahagia, melapangkan dada serta mendendangkan kemerduan pada pendengarannya. 

4) Tolong-menolong
• Tolong-menolong antara suami isteri akan melahirkan kebahagian dan keharmonian dalam kehidupan rumahtangga.
• Suami yang baik tentu akan selalu memberikan perasaan senang kepada isterinya, baik dengan cara membantu melakukan tugas-tugas sehariannya mahupun lain.
• Membantu pekerjaan isteri semakin besar nilainya apabila dilakukan dalam keadaan darurat.
• Suami isteri mengerjakan sesuatu pekerjaan dengan penuh kelembutan dan ketulusan sebagai penghubung tali cinta kasih dan rahmat yang telah Allah rentangkan antara keduanya, dalam rangka mewujudkan kedamaian, ketenteraman, ketenangan dan kebahagian. 
Insya Allah bersambung..

Read More...

Kelas Usrah #2

Author : SuriyaManis | Category :
Pahala Mentaati Ibu Bapa Melebihi Jihad Fisabilillah
----------------------------------------------------------------

Ramai tak sedar jarang bertanya khabar kepada orang tua di kampung dikira menderhaka
RAMAI anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu." a33; (Surah Al-Isra' ayat 23) 

Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud: Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: "Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam." a33; (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Semua anak mengaku mereka sudah memenuhi hak kedua ibu bapanya walaupun hati tak merindu, jauh sekali khuatir, sedih dan pilu mengenang keuzuran kedua orang, pemegang kunci syurga mereka di akhirat nanti. Bahkan anak dunia itu seolah-olah tidak mahukan akhirat.

Lantas mereka lalai dan lupa akibat mengejar cita-cita dunia sehingga tak tersisa sedikit pun ruang untuk ayah dan ibu di dalam hati. Hati yang sentiasa sibuk, memberi kesan pada wajah mereka yang kian suram apabila berdepan dengan ayah dan ibu. Mereka lebih rela menjadi tanda-tanda dekatnya kiamat dengan berlaku derhaka daripada harus menanggung beban hidup bersama orang tua. 
Pelbagai alasan dicipta untuk menghalalkan keuzuran mereka daripada menjaga ibu bapa, tetapi di sudut hati nurani anak-anak manusia siapakah kiranya yang boleh melepaskan diri daripada kenangan kasih sayang ibu bapa ketika kecilnya.

Mereka juga berselindung di sebalik amal salih yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai.

Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud beliau berkata: "Saya bertanya kepada Nabi SAW. "Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda bersabda: "Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjihad di jalan Allah." a33; (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan. Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang.

Bukan hanya ibu bapa yang terguris hati, Rasulullah SAW pun pernah menitiskan air mata mendengar pengaduan seorang lelaki tua mengenai anaknya yang menderhaka. "Wahai Rasulullah, anakku telah aku didik tetapi setelah dewasa dia menzalimiku. Lelaki itu kemudian menyatakan kesedihannya dengan untaian syair yang memilukan:

"Ketika engkau masih kecil, tangan ini yang memberimu makan.
"Engkau minum juga aku yang tuangkan. Apabila dirimu sakit, aku berjaga semalaman.
"Kerana sakitmu itu aku mengeluh kerisauan. Tetapi, di saat engkau dewasa dan mencapai tujuan.
"Kulihat pada dirimu apa yang tak ku harapkan. Kau balas aku dengan kekasaran.
"Seakan-akan nikmat dan anugerah engkau yang berikan."
Mendengar bait-bait syair lelaki tua itu, berlinanganlah air mata Rasulullah SAW seraya bersabda yang bermaksud: Kamu dan hartamu milik ayahmu." a33; (Ditakhrij oleh Ibnu Majah 2357, Imam Ahmad dalam al-Musnad 6883, Ibnu Hibban dalam sahihnya 409, 4182. Al-Baihaqi dalam al-Sunan 16054)

Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah SWT.
Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu bapa. Anak yang salih dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga.

Namun tidak dinafi juga kepentingan hadiah sebagai pengikat jiwa. Sikap mementingkan diri sehingga membiarkan ibu bapa hidup susah di sebalik kemewahan seorang anak sememangnya menunjukkan sifat tidak mengenang budi. Jika boleh dihitung berapa juta ringgit yang mesti dibayar, sudah tentu jasa ibu bapa tak akan terbayar dengan sebarang jenis mata wang pun di dunia ini.


Read More...

Kelas Usrah #1

Author : SuriyaManis | Category :
- HADIS TERUNGGUL -

Daripada Saidina Khalid bin Al-Walid RA berkata:
“Telah datang seorang Arab Baduwi kepada Rasulullah SAW dan dia menyatakan tujuannya:
Wahai Rasulullah...!
Kedatanganku untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku didunia dan akhirat.”
Rasulullah berkata kepadanya:
“Tanyalah apa yang engkau kehendaki.”
Arab Baduwi itu berkata:
Aku mahu menjadi orang alim.
Baginda menjawab:
"Takutlah kepada Allah SWT"
Dia bertanya lagi:
“Aku mahu menjadi orang paling kaya.”
Rasulullah menjawab:
“Jadilah orang yang yakin pada diri.”
Bertanya lagi Arab Baduwi itu:
“Aku mahu menjadi orang yang adil.”
Lalu dijawab oleh Rasulullah:
“Kasihanilah manusia lain seperti engkau kasih pada diri.”
Dia bertanya:
“Aku mahu menjadi orang paling baik.”
Baginda menjawab:
“Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat.”
Dia bertanya lagi:
“Aku mahu menjadi orang istimewa di sisi Allah.”
Dan dijawab oleh Rasulullah:
“Banyakkan zikrullah.”
Arab Baduwi itu bertanya:
“Aku mahu sempurnakan imanku.”
Baginda menjawab:
“Perelokkan akhlakmu.”
Dia bertanya lagi:
“Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsini (baik). “
Baginda menjawab:
Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak berasa begitu, sekurang-kurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau.”
Arab Baduwi bertanya lagi:
“Aku mahu termasuk dalam golongan yang taat,”
Lalu dijawab baginda:
“Tunaikan segala kewajipan yang difardukan.”
Dia bertanya lagi:
“ Aku mahu berjumpa Allah dalam keadaan bersih daripada dosa.”
Rasulullah menjawab:
“Bersihkan dirimu daripada najis dosa.”
Dia terus bertanya:
“Aku mahu dihimpun pada hari kiamat di bawah cahaya.”
Baginda menjawab:
“Jangan menzalimi seseorang.”
Dia bertanya lagi:
“Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari kiamat.”
Baginda berkata:
“Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain.”
Dia bertanya:
Aku mahu dihapuskan segala dosaku.”
Baginda menjawab:
“Banyakkan beristighfar.”
Dia berkata:
“Bagaimana pula aku mahu menjadi semulia-mulia manusia,”
Lalu baginda menjawab:
“Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain.”
Dia bertanya:
“Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia.”
Baginda menjawab:
“ Sentiasa menyerah diri (tawakal) kepada Allah.”
Dia bertanya lagi:
“Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.”
Baginda menjawab:
“Sentiasa berada dalam keadaan bersih (daripada hadas).”
Dia bertanya:
“Aku mahu termasuk dalam golongan yang dikasihi Allah dan rasul-Nya.”
Baginda menjawab:
“Cintailah segala yang disukai Allah dan Rasul-Nya.”
Dia bertanya:
“ Aku mahu diselamatkan daripada kemungkaran Allah pada hari kiamat.”
Baginda menjawab:
“Jangan marah kepada orang lain.”
Dia bertanya lagi kepada Rasulullah:
“Aku mahu diterima segala permohonanku.”
Baginda menjawab:
“Jauhilah makanan haram.”
Dia bertanya:
“ Aku mahu Allah menutupkan segala keabianku pada hari kiamat.”
Baginda pun menjawab:
“Tutuplah keburukan orang lain.”
Dia bertanya:
“Siapa yang terselamat daripada dosa?”
Rasulullah menjawab:
“Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, meraka yang tunduk pada kehendak-Nya dan meraka yang ditimpa kesakitan.”
Dia terus bertanya:
“Apakah sebesar-besar kebaikan disisi Allah?”
Baginda menjawab:
“Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala).”
Dia bertanya lagi:
“ Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?”
Baginda menjawab:
“Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.”
Dia bertanya:
“Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat?”
Baginda menjawab:
“Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang.”
Dia bertanya lagi:
“Apa yang akan memadamkan api neraka pada hari kiamat?”
Baginda menjawab:
“Sabar didunia dengan bala dan musibah.”
Dan telah berkata Imam Mustaghfirin: “Aku tidak pernah menemui hadis sebegini lengkap merangkumi kesempurnaan agama dan kehidupan selain hadis ini.”
Maka tugas kita seterusnya adalah berkongsi Hadis Nabi SAW ini dengan orang lain, moga ianya memberikan manfaat kepada semua. Insyallah...

Read More...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...